
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyatakan bantahan keras terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah menarik semula pengharaman buku ‘Belt and Road’ karya Hew Kuan Yau, atau lebih dikenali sebagai Superman Hew.
Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, DPPNS melihat tindakan yang memalukan tersebut sebagai satu langkah yang amat tidak bertanggungjawab dan membahayakan keharmonian negara.
“Buku tersebut sebelum ini telah diharamkan atas alasan mengandungi unsur-unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan menggugat keharmonian antara kaum.
“Penarikan semula pengharaman ini menimbulkan persoalan besar terhadap komitmen kerajaan dalam memelihara sensitiviti masyarakat serta keselamatan negara.
“DPPNS amat kecewa dengan keputusan ini. Jelas bahawa propaganda yang tidak menghormati sentimen dan kebimbangan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam dan Melayu,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Katanya, sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan keadilan dan keamanan, DPPNS berpendirian bahawa keputusan penarikan tersebut boleh membuka ruang kepada penyebaran ideologi yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara serta mengancam kestabilan politik dan sosial negara.
“Kami menggesa pihak kerajaan agar menilai semula keputusan ini dengan mengambil kira pandangan dan kebimbangan rakyat.
“Janganlah kita terlalu mudah tunduk kepada desakan pihak tertentu sehingga menggadaikan keharmonian dan keselamatan negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











