
MARANG: Kajian pemetaan Pulau Kapas yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu menunjukkan bahawa litupan karang keras hard coral di pulau itu mencatatkan tahap terbaik di kawasan barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, litupan karang keras dianggarkan berada dalam lingkungan 17.98 hingga 71.23 peratus sekali gus merekodkan litupan tertinggi di pulau tersebut.
“Pulau Kapas bukan sahaja menjadi habitat kepada 43 genera karang keras dan 13 spesies karang lembut soft coral, tetapi juga dihuni oleh 67 spesies ikan dan 67 spesies makro-invertebrata, yang majoritinya terdiri daripada filum molluska,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program melabuh tukun keju (cheese block) di perairan pulau itu, dekat sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, Pulau Kapas merupakan salah satu daripada keseluruhan 13 buah pulau di Terengganu yang telah digazetkan sebagai taman laut sejak tahun 1994 di bawah Akta Perikanan 1985.
Namun, katanya, bagi Taman Laut Pulau Kapas, hanya kawasan perairan sekeliling satu batu nautika daripada pulau itu sahaja yang diwartakan sebagai taman laut dengan keluasan keseluruhan adalah 21.33 Kilometer (km).
“Secara semulajadinya, perairan Taman Laut Pulau Kapas dikelilingi oleh ekosistem terumbu karang yang berkepentingan sebagai perumah dan tempat berlindung kepada pelbagai hidupan marin,” katanya.
Tambah beliau, ekosistem marin di Pulau Kapas juga tidak terlepas daripada pelbagai ancaman kerana lokasi pulau itu berhampiran dengan daratan iaitu lebih kurang 6 km dari bandar Marang.
“Antaranya adalah ancaman antropogenik setempat kesan daripada pembangunan persisiran pantai serta ancaman global seperti perubahan iklim dan yang terkini adalah ancaman kelunturan karang coral bleaching,” katanya.
“Justeru, langkah pemuliharaan seperti peletakan tukun tiruan adalah satu inisiatif yang diambil oleh Jabatan dan turut dibantu oleh pelbagai pihak bagi membantu pertumbuhan semula ekosistem marin,” katanya.
Menurut Azman, tahun ini Terengganu mencatatkan rekod terbesar dalam sejarah dengan pelabuhan sebanyak 100 unit tukun yang melibatkan lima daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











