39 calon layak bertanding pilihan raya Presiden Sri Lanka

Ranil Wickremesinghe (kiri) ketika tiba di Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menghantar kertas pencalonan. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

COLOMBO: Seramai 39 calon bagi pilihan raya presiden Sri Lanka mengemukakan pencalonan pada Khamis, ketika negara kepulauan Asia Selatan itu bersiap sedia untuk mengundi pada 21 September depan bagi mencorak laluannya keluar daripada krisis kewangan.

- Advertisement -

Pilihan raya pada bulan depan itu akan menjadikan ianya sebagai pilihan raya pertama Sri Lanka sejak kehabisan rizab asing yang menyebabkan ekonominya jatuh dan menyebabkan negara itu gagal membayar hutang asingnya pada 2022, lapor CNA.

“Suruhanjaya Pilihan Raya percaya kami akan mendapat sokongan parti politik, media, masyarakat sivil dan orang ramai untuk mengadakan pilihan raya secara aman dan telus,” kata pengerusinya, RM Ratnayake ketika menerima kertas pencalonan.

Dua sami Buddha adalah antara 40 calon, yang merupakan angka tertinggi direkodkan telah mendaftar dengan panel pilihan raya untuk bertanding dalam pengundian, di mana kira-kira 17 juta rakyat Sri Lanka layak membuang undi.

Angka itu bagaimanapun berkurangan apabila hanya 39 calon yang tiba pada Khamis di Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu untuk menyerahkan kertas pencalonan dan mendapatkan kelulusannya untuk melancarkan siri kempen mereka.

Pilihan raya pada kali ini dilihat sebagai referendum terhadap reformasi ekonomi yang sukar, yang dimulakan oleh penyandang presiden, Ranil Wickremesinghe, di mana pembaharuan telah meningkatkan angka ekonomi utama, tetapi kesannya masih belum sampai kepada ramai orang biasa.

Wickremesinghe berdepan cabaran hebat apabila pesaing utamanya ialah ketua pembangkang, Sajith Premadasa dan Anura Dissanayake, yang merupakan ketua parti politik berhaluan kiri yang telah mendapat populariti selepas kemelut ekonomi melanda negara itu. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -