
JAKARTA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin telah mengunjungi Presiden Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Indonesia (ASITA), Dr N Rusmiati.
Mewakili Kedah, Mohd Salleh berjaya mendapat kata sepakat dengan Rusmiati khususnya kerjasama pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, dalam pertemuan di Pejabat ASITA, di sini kelmarin.
Menurut beliau yang juga ADUN Kubang Rotan, ASITA bersetuju membantu merancakkan TMK2025 melalui promosi untuk menarik minat rakyat Indonesia melancong ke Kedah.
“ASITA merupakan antara agensi pelancongan yang agak besar di Indonesia dan mempunyai 7,000 ahli agensi pelancongan dari seluruh Indonesia.
“Kerjasama sebegini akan merancakkan lagi promosi dan TMK 2025 akan mendapat sambutan memberangsangkan tidak hanya pelancong tempatan tetapi juga negara luar, khususnya negara jiran,” kata beliau.
Sementara Dato’ Salleh ketika dihubungi Harakahdaily, memaklumkan, perbincangan dengan ASITA juga turut membabit cadangan penerbangan terus ke Langkawi dari Jakarta dan Medan.
Dalam pada itu, tambah beliau lagi, ASITA menyatakan kesediaan untuk memilih Kedah sebagai lokasi berlangsung Majlis Ulang Tahun ASITA ke-54 di luar Indonesia pada 7 Januari 2025 akan datang.
Beliau yang hadir ke negara jiran itu selama empat hari bermula 12 Ogos lalu, turut menghadiri program Muzium Kedah mempromosi permainan tradisional serta makanan tradisi negeri Jelapang Padi kepada pengunjung untuk menarik minat pelancong ke Kedah.
“InsyaAllah, selepas Indonesia, saya akan ke negara jiran lain iaitu Thailand dan Brunei untuk mempromosikan TMK2025 ke negara itu,” maklumnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/8/2024












