Jelajah Exco Pertanian cakna isu nelayan darat

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Sebanyak 30,000 anak ikan pelbagai spesis, dilepaskan ke Sungai Anak Bukit dalam usaha membantu merancakkan lagi aktiviti nelayan darat untuk jangka masa panjang.

- Advertisement -

Pelepasan anak-anak ikan itu diadakan bersempena kehadiran Exco Pertanian, Dzowahir Ab Ghani, pada program Jelajah Exco Pertanian ke DUN Anak Bukit, di sini hari ini.

ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, selain sebagai punca rezeki nelayan darat berdekatan, Sungai Anak Bukit juga berpontensi menjadi daya tarikan pelancong berikutan pemandangannya yang cantik.

“Apatah lagi, di Sungai Anak Bukit terdapat satu-satunya titi gantung di utara Kedah. Pastinya keindahan dan pemandangan yang cantik akan menarik minat pelancong untuk singgah sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025,” kata beliau.

Sementara, pada program Jelajah Exco Pertanian itu juga katanya, diadakan dialog antara nelayan darat dan pengusaha bot bersama agensi kerajaan yang hadir.

“Melalui dialog itu, selain soalan dan masalah yang diutarakan oleh nelayan darat dan pengusaha bot, mereka juga diberi taklimat seperti membantu menambah pendapat dan lain-lain,” jelasnya lagi.

Hasil dan perjumpaan itu tambah Rashidi, dapat membantu penambahbaikan demi keselesaan pengusaha bot dan nelayan darat.

“Saya juga sangat gembira kerana inilah julung kali program seperti ini diadakan di DUN saya. Tentulah ia memberi impak yang baik kepada golongan sasaran,” ujar beliau.

Selain dihadiri Exco Pertanian sendiri, jelajah itu juga disertai beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perikanan, Majlis Bandaraya Alor Setar, dan Penghulu Mukim.

Sementara turut hadir Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi dan para Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) di DUN berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -