
JOHOR BAHRU: Pengundi-pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dirayu agar mengundi calon nombor satu, PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan lambang ‘Bulan’.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, PN yang menggunakan lambang bulan (PAS) terkenal dengan sebuah parti penuh integriti dan teguh prinsip perjuangannya.
Manakala Barisan Nasional (BN) pula menurut beliau, sejak sekian lama digelar sebagai parti yang mempunyai masalah integriti dan tatakelola.
“Tarikh 17 Ogos 2024 adalah saat penentuan kepada pengundi N.43 Nenggiri untuk memilih wakil rakyat yang baharu. Pastinya semua mengimpikan wakil rakyat yang berintegriti, tidak berkepentingan diri, tidak membelakangkan keputusan parti, bukan kaki lompat dan putar alam.
“Pertembungan dua penjuru atau dua pihak, pasti salah satu daripadanya lebih baik daripada yang lainnya. Begitulah juga di Nenggiri, para pengundi perlu memilih yang lebih baik untuk menjadi wakil mereka,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi PAS Johor sebentar tadi.
Jelas beliau lagi, Islam mengajar umatnya kaedah dan cara memilih pemimpin kerana tanggungjawab kepimpinan Islam yang paling utama adalah memelihara kesucian dan nilai agama Islam serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Beliau turut merujuk kepada Surah Ali Imran ayat 118 yang merupakan perintah Allah SWT agar meletakkan kepercayaan dalam urusan pentadbiran kepada orang beramanah terhadap agama Allah SWT.
Katanya lagi, hanya mereka yang jujur di dalam beragama sahaja akan menepati janji, melaksanakan tanggungjawab dan tidak khianat serta tidak menyalahgunakan kuasa kerana mereka menyedari bahawa amanah itu diterima kerana Allah SWT dan akan dipersoalkan di akhirat nanti.
“Justeru PAS sebagai sebuah perjuangan yang sentiasa mempertahankan integriti bersama dengan PN, menyeru dan merayu kepada pengundi N.43 Nenggiri khasnya agar keluar mengundi calon No.1, Mohd Rizwadi Ismail, calon PERIKATAN NASIONAL.
“PAS Johor mendoakan semoga calon PERIKATAN NASIONAL dikurniakan kemenangan oleh Allah SWT dengan majoriti yang lebih besar, insya-Allah,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan calon PN ini sangat penting sebagai isyarat penolakan rakyat kepada tatakelola tidak cekap serta pelbagai isu yang menggusarkan kesejahteraan hidup rakyat keseluruhannya.
“Ayuh pengundi Nenggiri sama-sama kita tunaikan tanggungjawab mengundi calon PN. Undilah PERIKATAN NASIONAL,” serunya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











