Jangan tunduk kepada desakan untuk ratifikasi ICERD

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani pimpinannya diberi amaran supaya tidak tunduk kepada desakan yang meminta kerajaan supaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari memberikan amaran itu susulan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus baru-baru ini, yang berharap Malaysia akan meratifikasi ICERD dan Konvensyen Pelarian 1951 dalam tempoh penggalnya.

“Amaran kepada kerajaan agar jangan sesekali tunduk kepada desakan untuk ratifikasi ICERD, jika tidak kerajaan akan berdepan dengan kebangkitan penentangan besar-besaran rakyat termasuklah himpunan sejuta ummah di ibu negara.” katanya.

ICERD merupakan satu Konvensyen Antarabangsa yang telah berfungsi sejak Januari 1969 dan hampir seluruh negara di dunia ini meratifikasikannya.

Namun, Malaysia adalah satu daripada dua negara majoriti Islam di dunia yang belum meratifikasi ICERD selain negara jiran, Brunei. 

Cadangan untuk meratifikasikan ICERD pernah menyebabkan kebangkitan penentangan ratusan ribu orang di ibu negara, yang digelar Perhimpunan Anti-ICERD di sini sekitar tahun 2018.

Perhimpunan itu diadakan susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa, termasuk ICERD dalam suku pertama 2019.

Hasrat kerajaan itu bagaimanapun tidak mendapat persetujuan pemimpin tertinggi Umno dan PAS apabila kedua-dua parti tersebut menyatakan akan mengadakan perhimpunan bagi membantah pelan ratifikasi ICERD pada 8 Disember 2018.

Ia berikutan dakwaan bahawa sekiranya kerajaan meratifikasikan ICERD, ianya akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk berkenaan kuota kaum di institusi awam.

Selepas mengambil kira bantahan pelbagai pihak dan situasi politik pada waktu itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 23 November 2018 memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -