‘Tidak semua orang senang seperti kita’

Sulaiman Sulong (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk DUN Pengkalan Berangan.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Tidak semua orang senang seperti kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Beliau membandingkan antara orang berada dengan golongan yang susah apabila mengalami penyakit.

- Advertisement -

“Kalau orang kaya mengalami sakit mereka hanya perlu ke hospital swasta, kalau perlukan ubat hanya pesan melalui internet, tidak perlu fikir panjang.

“Bagaimana pula orang susah?” tanya beliau melalui pengkongsian di laman sosialnya.

Katanya, bagi golongan yang susah, barangan keperluan asas pun tidak mencukupi dan berkira untuk membeli ubat di farmasi.

“Barang asas keperluan harian pun mereka tidak cukup, pasti mereka akan berkira-kira dahulu sebelum pergi ke klinik atau beli ubat di farmasi,” ujarnya yang Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri.

Tambahnya, jika dilanda ujian sakit kadang-kadang mereka mendiamkan sahaja dengan menunggu sehingga sembuh dengan sendirinya.

Sehubungan itu, beliau menyeru anggota masyarakat supaya sentiasa mengambil berat terhadap jiran terutama dalam kalangan orang susah.

“Rajin-rajinlah menjenguk jiran tetangga di sebelah, sentiasa peka dengan keperluan mereka jika mereka orang susah.

“Tanya ‘dah makan hari ini’, ‘sihat ke tidak’. Negeri kita, kita jaga,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -