
GUA MUSANG: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan perkembangan yang berlaku membabitkan anak-anak muda di DUN Nenggiri dan Orang Asli begitu luar biasa sekarang.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha untuk mendekati masyarakat Orang Asli bukan hanya ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) sahaja, sebaliknya ia melibatkan jangka masa panjang.
Katanya, PN akan memperolehi kecemerlangan sekiranya petugas PN berganding bahu merencanakan gerak kerja yang lebih tersusun di penempatan Orang Asli dan kawasan lain.
“Insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan di DUN Nenggiri, namun perlu berusaha dengan memperlihatkan wajah kita yang sebenar untuk menolong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan perlepasan Konvoi Khidmat Malaysia ‘A Day 4 Charity’ di Pejabat PAS Gua Musang hari ini. (Foto atas)
Sebanyak 30 kenderaan pacuan empat roda milik Dewan Pemuda PAS dan NGO menjayakan program tersebut. Mereka akan berada di beberapa penempatan Orang Asli termasuk Pos Gob.
Turut hadir Pengarah Operasi PN PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato’ Dr Ahmad Ahmad Marzuk Shaary dan pemimpin PN. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











