
GUA MUSANG: Perubahan masyarakat Orang Asli khususnya dalam kalangan anak muda begitu memberangsangkan sehingga dilihat mereka beralih menyokong calon PERIKATAN NASIONAL (PN).
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sebelum ini sokongan masyarakat terbabit kepada PAS begitu sukar diperolehi.
Namun tambahnya, perkembangan teknologi maklumat di hujung jari, membolehkan mereka nampak apa sebenarnya yang berlaku.
“Mereka tidak boleh dijadikan pak turut seperti dahulu lagi, mereka boleh memilih dan nilai siapa sebenarnya yang patut dipilih.
“Pada masa yang sama, calon yang diketengahkan PN juga serasi dengan jiwa mereka.
“Ini secara tidak langsung menambah sokongan masyarakat berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Perlepasan Konvoi Khidmat Malaysia di Pejabat PAS Gua Musang di sini hari ini.
Pelepasan tersebut dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Afnan tidak menolak masyarakat Orang Asli sebagai ‘king maker’ pada PRK Dun Nenggiri kerana jumlah pengundi dalam kalangan begitu besar.
Namun baginya ia satu petanda baik ke arah peningkatan taraf hidup masyarakat terbabit dengan tawaran yang diberikan calon PN Rizwadi Ismail.
“Tugas kami pemimpin muda hari ini untuk mendekati anak-anak muda tanpa mengira kaum dan agama termasuk Orang Asli,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











