‘Pastikan komik ini tidak mendekati anak-anak kita’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam isu penerbitan komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, oleh kartunis pro-DAP yang dikenali sebagai Superman Hew.

- Advertisement -

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga menggesa KDN mengkaji semula keputusan untuk menarik balik larangan penerbitan komik tersebut.

Katanya, beliau amat kecewa dengan keputusan KDN untuk menarik semula larangan penerbitan komik tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar memandangkan kandungan komik tersebut amat tidak sesuai dibaca oleh masyarakat majmuk di negara ini khususnya kanak-kanak.

“Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution perlu mempertimbangkan semula penarikan larangan tersebut dan memastikan komik ini tidak mendekati anak-anak kita,” gesa beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu menurutnya, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling melarang penyebaran dan pembacaan buku tersebut di sekolah, termasuk sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

“Saya berharap agar Menteri Pendidikan memantau penyebaran buku ini di kalangan pelajar sekolah, sekiranya ada.

“Kerajaan sepatutnya memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat dan perlu mengelakkan perpecahan di saat ancaman Islamofobia sedang mengancam dunia ketika ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -