Pesawat pejuang bertembung, dua terbunuh

- Advertisement -

AUTREVILLE: Dua pesawat pejuang tentera Perancis bertembung di udara, di timur wilayah negara itu pada Rabu dan membunuh dua anggota tentera manakala seorang lagi terselamat selepas menggunakan kerusi lenting, kata pegawai tentera negara berkenaan.

- Advertisement -

Dalam catatan di laman media sosial X, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengenal pasti mangsa yang maut dalam kemalangan pesawat pejuang jenis Rafale itu sebagai Kapten Sebastien Mabire dan Leftenan Matthis Laurens, lapor Reuters.

“Kami belajar dengan kesedihan tentang kematian Kapten Sebastien Mabire dan Leftenan Matthis Laurens, semasa kemalangan udara sewaktu misi latihan Rafale.

“Negara berkongsi kesedihan keluarga dan saudara seperjuangan mereka,” katanya.

Media Perancis dalam pada itu melaporkan salah seorang daripada mereka yang terbunuh adalah juruterbang pelatih, manakala seorang lagi merupakan juruterbang profesional.

Menteri Pertahanan Perancis, Sebastien Lecornu menerusi laman X beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dua juruterbang yang maut dalam nahas itu.

“Takziah dan semua sokongan saya kepada keluarga Kapten Sebastien Mabire dan Leftenan Matthis Laurens, kepada orang tersayang dan saudara seperjuangan mereka. Kami tidak akan melupakan mereka,” katanya.

Pesawat pejuang Rafale buatan Perancis yang terlibat dalam insiden itu merupakan pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara 113 di Saint-Dizier, timur laut negara berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -