37 tawaran Rizwadi untuk penduduk Nenggiri

Mohd Rizwadi Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) sangat yakin dengan kemampuan calon nombor 1 anak muda di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat yang berintegriti di kerusi tersebut.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, bukan sahaja berbekalkan karakter calon yang berkaliber, malah tawaran yang diberikan juga bakal menjadi penilaian buat kepada 20,259 pengundi berdaftar untuk diterjemahkan di atas kertas undi.

“Pengalaman luas Rizwadi di dalam dunia ketenteraan membuatkan beliau mempunyai pakej lengkap untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan.

“Perkhidmatannya sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendidik dirinya dengan imej berdisiplin dan sedia berkorban demi agama, bangsa dan tanah air.

“Tidak cukup dengan pengalaman yang ada, Rizwadi juga tampil membawa bersama 37 tawaran buat para pengundi di DUN Nenggiri dengan tema K.H.I.D.M.A.T. yang menjadi kata kunci kepada idea pembawakannya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sukri berkata, antara golongan yang bakal mendapat manfaat terhadap tawaran tersebut ialah Orang Asli, para peneroka, penduduk kampung tradisi, anak muda, wanita, warga emas dan usahawan.

Sehubungan itu tambahnya, antara tawaran yang menjadi perhatian adalah komitmen untuk melantik seorang Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat dari kalangan Orang Asli.

“Ia merupakan suatu tawaran yang sangat penting kerana terdapat hampir 13.51 peratus pengundi atau 2,738 penduduk Orang Asli di kawasan tersebut. Suara dan kebajikan Orang Asli pasti dapat ditambahbaik dengan komitmen sebegini.

“Justeru, DPPNS menyeru seluruh pengundi di DUN Nenggiri agar dapat membuat penilaian terbaik dengan memberi pertimbangan terhadap kesemua 37 buah tawaran yang diberikan oleh Rizwadi.

“Rakyat Nenggiri perlukan masa hadapan yang lebih baik, dan penyelesaian itu ada pada Calon Nombor 1, Rizwadi Ismail,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -