
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNP) ingin melontarkan persoalan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkenaan manfaat karya buku komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama kepada rakyat Malaysia.
Ketua Penerangannya, Mohamad Amin Roslan berkata, DPPNP menyelar dan membantah keputusan pembatalan larangan mencetak dan mengedar komik tersebut oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, ini berikutan kerana komik tersebut seolah-olah dilihat cuba mempromosikan fahaman komunis dalam usaha kemerdekaan negara.
“Malah, komik ini juga seolah-olah cuba menormalisasi perjuangan komunis dan lebih parah, ia barangkali menjadi penyebab kekeliruan dalam soal perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu menerusi karya komik ini.
“Kita tidak mahu isu-isu melibatkan 3R (raja, agama, bangsa) terus dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepuasan politik dan keserakahan memegang tampuk kuasa dengan penyebaran fahaman komunis yang sememangnya ditentang perjuangan serta ideologi mereka di bumi berdaulat ini.
“(Bekas Presiden Umno) Dato’ Seri Najib Razak dijadikan bahan sindiran, watak orang Islam Uyghur di Xinjiang, China digambarkan sebagai pengganas dan karikatur menggambarkan Ko Min Tang, Bintang Tiga dan komunis yang turut terlibat dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu adalah antara bukti nyata propaganda jahat yang mengucar-kacirkan keharmonian kaum dan menimbulkan fakta yang salah, membawa dakyah yang sesat serta fahaman yang melampau,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, telah tular dalam media arus perdana yang melaporkan keputusan KDN yang telah membatalkan larangan mencetak dan mengedar komik bertajuk Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang merupakan karya Superman Hew.
Sehubungan itu, Amin berkata, sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan cintakan keamanan, komik tersebut mesti diharamkan dan dihapuskan agar sejarah yang benar tidak dicemari dan keharmonian yang dikecapi tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekalipun.
“Atas dasar itu, DPPNP menyatakan bantahan keras atas keputusan ini dan memberi amaran tegas agar kerajaan PH-BN terus peka serta sensitif dalam pendirian mereka terhadap komik Superman Hew. Jangan sampai sudah terhantuk, baru hendak terngadah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











