
SEMENANJUNG GAZA: Sekurang-kurangnya 115 bayi Palestin di bawah umur lapan bulan telah dibunuh oleh zionis Israel sejak perang Hamas-Israel tercetus Oktober lalu, kata Kementerian Kesihatan di wilayah itu.
Jurucakapnya, Ashraf Al-Qudra menegaskan bahawa pembunuhan kembar baru lahir pada Selasa lalu, Aysel dan Asser Abu al-Qumsan telah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 48 jumlah bayi yang berumur kurang daripada sebulan telah dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan zionis Israel, lapor Tehran Times.
Kembar itu dilahirkan pada 10 Ogos lalu dan telah dibunuh bersama ibu dan neneknya sewaktu bapa mereka, Mohamed Qomsan meninggalkan tempat perlindungan mereka di Deir al-Balah, tengah Gaza, untuk mengambil sijil kelahiran bagi bayinya yang baru lahir.
Rakaman mengenai kejadian itu kemudiannya telah menjadi tular apabila video memaparkan Qomsan dalam keadaan terkejut, menangis dan hampir pengsan sebaik pulang ke tempat perlindungan yang dibom dan mengetahui berita seluruh keluarganya terbunuh.
Sementara itu, Pesuruhjaya Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin, Philippe Lazzarini melaporkan bahawa gelombang terbaru ‘perintah pemindahan’ telah menyebabkan lebih 75,000 orang kehilangan tempat tinggal di barat daya Gaza.
Dalam catatannya di media sosial, Lazzarini menonjolkan situasi yang menyedihkan itu, dengan menyatakan bahawa ‘ada yang hanya mampu membawa anak-anak mereka bersama mereka, ada yang membawa seluruh hidupnya dalam satu beg kecil.’
“Mereka akan pergi ke tempat yang sesak di mana tempat perlindungan sudah dipenuhi keluarga.
“Penduduk Gaza telah kehilangan segala-galanya dan memerlukan segala-galanya. Tidak seperti peperangan lain, penduduk Gaza terperangkap dan tidak mempunyai tempat untuk pergi,” katanya.
Serangan yang dilakukan tentera zionis Israel telah memusnahkan rumah, hospital, sekolah dan infrastruktur awam lain dalam serangan genosidnya. Mereka juga turut bertindak menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan, termasuk air, makanan, ubat-ubatan dan bahan api. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











