
ALOR SETAR: Bonda kepada Menteri Besar, Meriam Ahmad telah menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini jam 9:40 pagi sebentar tadi.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memberitahu, ibunya disahkan doktor mengalami serangan jantung dan strok, di mana terlebih dahulu dibawa ke Hospital Sik dan ditidurkan sebelum dipindahkan ke HSB sejak Isnin lalu.
Jenazah Almarhumah, 74 tahun dimaklumkan akan disolatkan dan dikebumikan di Masjid Sungai Pau, Sik selepas solat Asar hari ini.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam pada itu mewakili PAS merakamkan takziah kepada Dato’ Seri Muhammad Sanusi serta seluruh ahli keluarga beliau atas pemergian Almarhumah.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Bagi pihak PAS, kami merakamkan takziah di atas kehilangan ini,” ujarnya.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pada itu turut merakam ucapan takziah kepada Sanusi atas pemergian bonda yang amat disayangi.
“Tidak tergambar kesedihan dan keperitan jiwa apabila kita kehilangan bonda yang menjadi ratu dalam hidup. Didoakan agar YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi tabah, sabar dan cekal.
“Marilah kita berdoa agar Almarhumah Hajah Meriam Ahmad diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal A’lamin,” ujarnya.
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya pula berkata, bahagialah ibu yang kembali ke sisi Penciptanya apabila meninggalkan anak cucu soleh dan solehah akan mendoakan kebahagiaan di alam sana.
“Ibu yang berjasa dan bertuah apabila dipilih Allah dari rahimnya melahirkan pemimpin untuk negeri serta negara. Dengan hati yang hiba kami iringkan doa buat Ibu Hajah Meriam Ahmad.
“Semoga dilimpahkan rahmat kasih sayang dan keampunan Allah serta dikumpulkan bersama para solihin. Selamatlah Ibu berangkat ke alam yang baru dan kami juga akan menyusul nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











