Bekas Adun Galas tunjuk isyarat calon nombor 1

- Advertisement -

GUA MUSANG: Detik-detik akhir kempen menjelang hari mengundi lusa (17 Ogos), Umno menerima tamparan hebat apabila bekas Timbalan Ketua Umno Gua Musang, Dato’ Mohamad Mohd Saupi Deraman mempamerkan reaksi berbeza.

- Advertisement -

Hari ini beliau dikunjungi Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Hamzah Zainuddin bersama pemimpin kanan Bersatu di rumahnya di bandar Gua Musang.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, Saupi merupakan bekas wakil rakyat Umno di Gua Musang.

Katanya, bekas ADUN Galas itu merupakan sahabat baiknya, menyampaikan nasihat dan hasrat akar umbi supaya PN meneruskan perjuangan bagi membela agama, bangsa dan negara.

“Akar umbi menyuarakan keresahan dan kekecewaan apabila melihat perpecahan yang berlaku hari ini sebenarnya bermula hanya daripada segelintir pemimpin di atas,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Pada kunjungan itu Saupi menunjukkan tanda jari nombor satu yang menggambarkan calon PN, Mohd Rizwadi Ismai.

Pada 1996 selepas Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan Parti Melayu Semangat 46, beliau membawa pengikutnya menyertai semula Umno secara ‘en bloc’.

Kembalinya semula Ku Li ke pangkuan Umno maka beliau diberi peluang memimpin Umno Gua Musang oleh pucuk pimpinan Umno ketika itu.

Ekoran itu wujud perasaan tidak senang pemimpin Umno Gua Musang sehingga kedudukan Saupi terpinggir.

Malah pada masa itu Umno Gua Musang berpecah iaitu Umno Semangat 46 dan Umno Baru. Umno Baru diketuai Saupi yang bekas ketua bahagian Gua Musang. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -