
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyeru seluruh anak Nenggiri di perantauan terutamanya yang berada di Selangor untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab dan hak masing-masing sebagai pengundi pada Sabtu (17 Ogos) ini.
Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, anak muda hakikatnya merupakan ‘king maker’ kepada masa hadapan Nenggiri.
“Berdasarkan daftar pengundi berdaftar setakat suku kedua tahun 2024, pengundi dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun merupakan peratusan tertinggi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Julat umur sebegini biasanya lebih gemar mengembara ke luar Kelantan untuk mencari rezeki, membuatkan undi anak perantauan sangat signifikan terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu menurut Sukri, terdapat lima tawaran khusus calon daripada Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail buat anak muda yang pasti menjadi tumpuan buat para perantau terutama anak muda Nenggiri untuk memberikan undi.
Sukri berkata, komitmen Rizwadi yang mahu membantu anak-anak muda Nenggiri menjana pendapatan dan menambah ilmu pengetahuan sangat menarik minat para pengundi yang sememangnya mahu memperbaiki masa hadapan mereka.
“Rekod peratusan mengundi 61.09 peratus sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kawasan Nenggiri sebelum ini perlu dipecahkan.
“Rakyat Nenggiri perlu beramai-ramai turun bagi menunjukkan tanda tidak setuju terhadap tindakan mantan Ahli DUN Nenggiri sebelum ini yang mengkhianati amanah rakyat, dan sebagai tanda protes kepada kerajaan PH-BN yang semakin tidak mempedulikan nasib rakyat yang semakin tertekan.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri,” kata beliau.
Dalam pada itu, tambahnya, biarpun negeri Selangor menjadi lubuk rezeki buat anak-anak perantauan, hakikatnya potensi yang ada di tempat asal masing-masing adalah lebih baik.
“Masa hadapan Nenggiri berada di tangan anda wahai anak-anak Nenggiri. Jom sama-sama pastikan Nenggiri kekal PN, pangkah ‘bulan’,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











