23 tukun dilabuhkan di Taman Laut Pulau Kapas

- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Petronas-Integrated Bekok Oil (IBO) dan HHA Associates Sdn. Bhd. melancarkan projek pemuliharaan marin dengan menempatkan 23 unit tukun tiruan jenis Cheese Block di perairan Taman Laut Pulau Kapas, hari ini.

Projek itu dilaksanakan di bawah program community outreach dan bertujuan untuk memulihara ekosistem marin serta menyokong sumber perikanan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan korporat bagi memastikan kelestarian hidupan laut terpelihara.

“Sebanyak 23 unit tukun cheese block akan dilabuhkan, yang mana 11 unit melalui peruntukan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan 12 unit lagi sumbangan daripada HHA Assocites Sdn Bhd dan IBO.

“Program bersejarah pada hari ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan badan korporat untuk turut serta dalam memulihara ekosistem marin dan secara tidak langsung menyokong kepada pemeliharaan sumber perikanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program melabuh tukun keju (cheese block) di Pulau Kapas, di sini. Turut hadir Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.

Beliau berkata, tukun tiruan tersebut direka menggunakan rekabentuk hydro-cheese block, yang dibina daripada komposisi simen dengan sebatian khusus yang berperanan sebagai substrat yang bersesuaian untuk menarik pertumbuhan anak-anak karang baharu.

“Tukun ini bersaiz 2×2 meter dan berat lebih kurang 2 tan metrik. Kompartmen dalam tukun tiruan cheese block ini memberi ruang kepada ikan untuk mendiami struktur tersebut sebagai tempat pembiakan dan perlindungan daripada pemangsa.

“Sebanyak 11 unit tukun seumpama ini telah dilabuhkan di Pusat Taman Laut Pulau Redang pada tahun 2021. Dalam tempoh 2 tahun, ia telah menunjukkan pertumbuhan dan kolonisasi anak karang yang baik.

“Hampir 70 peratus permukaan tukun cheese block telah diliputi dengan organisma epibentik dan secara tidak langsung menarik kehadiran pelbagai spesies ikan,” katanya.

Tambah beliau, dengan perkembangan dan hasil keberkesanan yang ditunjukkan oleh rekabentuk tukun cheese blok itu, maka program bersama pihak HHA dan IBO telah memilih untuk menempatkan 23 unit tukun jenis itu di Taman Laut Pulau Kapas.

“Adalah diharapkan dengan penempatan tukun cheese blok ini akan dapat membantu kepada peningkatan sumber dan biodiversiti marin di perairan Pula Kapas.

“Ini secara tidak langsung akan dapat menyokong sumber perikanan di perairan luar Taman Laut Pulau Kapas yang akan dapat dinikmati olen pengguna sumber di luar sana,” katanya.

Azman turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Perikanan, Syarikat HHA Associates Sdn Bhd dan IBO kerana telah berjaya merealisasikan hasrat konservasi ekosistem marin melalui kejayaan program pada hari ini.

“Pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berhasrat untuk turut serta dalam inisiatif konservasi marin dan kelestarian sumber laut, seperti yang sentiasa disarankan dalam agenda Sustainable Development Goal (SDG), Target 14: Life Below Water.

“Semoga lebih banyak pihak yang ingin melibatkan diri untuk turut serta dalam memulihara khazanah marin di perairan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -