
GUA MUSANG: Berdasarkan beberapa siri pertemuan dengan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) rakyat mengharap ada perubahan politik berlaku di peringkat negara.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai yang ditemui begitu berharap PN dapat kembali mengemudi pentadbiran negara.
Katanya orang ramai memaklumkan mereka begitu tertekan dengan kenaikan kos sara hidup di bawah Kerajaan Madani.
“Rakyat ada pengalaman sepanjang 18 bulan pemerintahan PN di Putrajaya ketika negara melalui zaman pandemik Covid-19.
“Ada yang jumpa saya tanya, Tan Sri bila lagi, dia cakap dengan saya, saya fikir bila apa… cepatlah cepatlah, bila nak ambil alih kerajaan semula.
“Rakyat tanya saya macam gitu kerana bebanan kos sara hidup sekarang,” katanya pada ceramah umum Unit Daerah Mengundi (UDM) Perasu di Kedai Kak Sah sebelah Dewan Semai Bakti di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ketika kerajaan PN mentadbir negara sebelum ini hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hampir RM12 bilion dilupus.
“Kerajaan PN mencari jalan menyelesaikan masalah Felda kerana kebanyakan mereka merupakan orang Melayu di mana terpaksa menanggung hutang yang besar.
“Kehidupan peneroka tidak tenteram kerana dibelenggu masalah tersebut sehingga kerajaan PN membuat keputusan melupuskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion.
“Saya tubuh satu jawatankuasa di bawah Tan Sri Wahid Omar dan Pengerusi Felda Dato’ Idris Jusoh bagi menyelesaikan hutang peneroka,” ujarnya.
Menurutnya jawatankuasa terbabit memaklumkan hutang peneroka hampir RM12 bilion, jadi atas cadangan jawatankuasa maka diambil keputusan hapuskan RM8.3 biion hutang peneroka kepada Felda. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











