
GUA MUSANG: Bekas menteri Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa terhutang budi kepada agensi kerajaan negeri kerana menebus kontrak biasiswanya dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Katanya kerajaan negeri membawanya pulang untuk bertugas dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), manakala isterinya di Kesedar.
“Saya juga dapat menyambung pelajaran ke England setelah mendapat cuti separuh gaji ketika bertugas dengan PKINK.
“Selepas menamatkan pengajian saya dinaik pangkat sebagai Pengurus Perancangan Korporat PKINK. Tidak lama kemudian saya meletakkan jawatan untuk bertanding pilihan raya 1986 sebelum dilantik Pengerusi FAMA Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dengan kakitangan Syarikat Ladang Sungai Terah di Dewan Kumpulan Perladangan PKINK Berhad (KPPB), hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif PKINK, Datuk Zamri Ismail dan bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.
Annuar yang juga Pengarah Operasi PN Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri berkata, beliau terhutang budi kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang berkhidmat di Kelantan.
Katanya, kecintaan kepada negeri kelahiran sendiri membuatkan beliau sentiasa ingin berkhidmat untuk Kelantan.
“Dari bola sepak sehingga kepada ADUN, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat serta selamanya saya sebagai anak Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar merakam ucapan tahniah kepada pegawai dan kakitangan syarikat terbabit di atas prestasi yang memberangsangkan.
“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga kerja atas prestasi semasa syarikat yang amat memberangsangkan.
“Berkhidmatlah dengan penuh dedikasi dan terima kasih atas dukungan yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk sama-sama kita capai agenda ke arah ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











