PRK Nenggiri: Isu cuba dimainkan DAP sekadar mainan politik

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) melihat isu kafir harbi yang cuba dimainkan oleh sesetengah pemimpin DAP ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hanyalah sekadar mainan politik pihak musuh.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, tanggapan sedemikian adalah untuk membentuk persepsi bahawa PAS sebuah parti yang menakutkan khususnya kepada masyarakat bukan-Islam. 

Sudah tentu tanggapan tersebut menyeleweng bahkan PAS tidak akan terjun ke dalam kolam falasi yang dicipta musuhnya. 

- Advertisement -

“DUPP yakin PAS sudah mula diterima masyarakat bukan-Islam, sekurang-kurangnya mengubah tanggapan negatif terhadap perjuangan Islam yang didukung oleh PAS sejak awal penubuhannya. 

“Sifat inklusif PAS dalam menyantuni masyarakat pelbagai agama dan budaya membuktikan keterbukaan PAS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRK Sungai Bakap baru-baru ini menurutnya, banyak memberikan imej positif terhadap PAS dan Perikatan Nasional, dan DUPP yakin imej tersebut akan disambut dengan gelombang sokongan masyarakat Orang Asli dalam PRK Nenggiri kelak. 

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS ingin menegaskan bahawa perjuangan PAS adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. 

“PAS bertegas hanya dalam perkara prinsip agama Islam, tetapi di sebalik ketegasan itu terdapat sikap tolak ansur selagi mana ia tidak melanggar sempadannya.

“Malah, PAS juga berpencak di atas neraca kesederhanaan dan tidak mahu terbelit dengan perbahasan perbezaan mazhab sehingga membawa kepada keretakan dan perpecahan ummat yang merugikan,” ujarnya.

Pegangan perjuangan tersebut menurutnya menjadikan PAS sentiasa relevan dan dinamik menghadapi perubahan arus semasa. 

“Tambahan lagi, pembangunan dan pentadbiran yang progresif di negeri-negeri yang ditadbir PAS adalah contoh bagaimana prinsip ini diterjemah dalam konteks politik dan pentadbiran. 

“Oleh yang demikian, DUPP berpandangan isu kafir harbi yang cuba dimainkan DAP hanya sekadar menangguk di air yang keruh.

“Sama ada mereka tiada apa untuk dihujahkan terhadap PAS atau sekadar mengalihkan perhatian daripada kegagalan dasar di Putrajaya,” katanya.

- Advertisement -