
GUA MUSANG: “Perubahan dapat dirasai ketika saya dan kepimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) datang menemui masyarakat Orang Asli dalam siri pertemuan di beberapa pos Orang Asli.
“Bahasa badan, kemesraan serta keselesaan yang diperlihatkan Orang Asli, Insya-Allah bakal membuat kejutan,” kata Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
Lebih-lebih lagi katanya PN menawar untuk melantik seorang pegawai Orang Asli bertugas di Pusat Khidmat DUN yang akan menjadi penghubung antara masyarakat Orang Asli Nenggiri dengan kerajaan negeri.
Menurutnya, tawaran itu tidak pernah diberikan oleh mana-mana pihak sebelum ini.
Kata Hamzah pada sesi kedua beliau datang berkempen ke DUN Nenggiri melihat perubahan penduduk Orang Asli khususnya anak muda begitu jelas. (Foto atas)
“Saya menyeru semua pengundi bukan sahaja orang Asli supaya keluar mengundi dan membuat perubahan pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya juga masyarakat Orang Asli ada maruah dan mereka tidak lagi akan membenarkan hanya dikawal kelompok parti politik tertentu sahaja.
Malah katanya Orang Asli sekarang bijak membuat keputusan untuk masa depan mereka sendiri. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











