UniSZA meterai MoU dengan 3 institusi pendidikan Indonesia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Universitas Ibn Khaldun Bogor dan Sekolah Tinggi Ilmu Syariah Ummul Ayman yang telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, semalam.

- Advertisement -

MoU itu telah ditandatangani oleh wakil (Naib Canselor UniSZA), Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, Rektor Universitas Ibn Khaldun Bogor, Prof. Dr. H.E. Mujahidin M.SI, Rektor Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Prof. Dr. H. Mujiburrahman M.AG dan Ketua Sekolah Tinggi Ilmu Syariah Ummul Ayman Pidie Jaya, Dr. Muhammad Zukhdi Teungku Karimuddin.

UniSZA menerusi laman Facebooknya memaklumkan, pemeteraian MoU itu yang diadakan bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang akademik, penempatan industri bagi pelajar dan latihan sangkutan bagi kakitangan FKI khususnya.

“Jalinan kerjasama bersama ini amat bertepatan kerana boleh memperkaya dan mengukuhkan jaringan serta keterlibatan yang produktif, sistematik dan lestari antara UniSZA dengan universiti luar.

“Selain itu, dengan termeterainya MoU ini, adalah diharapkan pihak yang terlibat dapat berganding bahu untuk menggembleng tenaga dan usaha dalam melaksanakan pelbagai aktiviti merangkumi aktiviti pengajaran dan pengajaran, perkongsian maklumat, kepakaran, dan sebagainya,” ujarnya.

UniSZA berharap kerjasama itu mampu menghasilkan output berimpak tinggi dan berkualiti, yang bukan sahaja akan melonjakkan martabat dan potensi UniSZA dan juga memberi impak dan manfaat kepada penduduk setempat khususnya dan di negara ini amnya.

Seterusnya, kata UniSZA kerjasama yang dijalankan itu juga diharapkan boleh menjadi perintis dan pemangkin untuk menerokai pelbagai ruang dan peluang kerjasama strategik yang lebih rapat, efektif dan produktif pada masa akan datang.

Tambahnya, antara hasrat utama UniSZA melalui MoU itu adalah bertujuan meningkatkan pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesional dan pembangunan kurikulum selain perkongsian kepakaran dalam bidang akademik.

“Dengan pemeteraian MoU ini, diharapkan akan memacu sinergi kecemerlangan dalam merentasi asas pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, khidmat komuniti, perundingan serta keterlibatan yang bermanfaat kepada sumber manusia dan pelajar UniSZA yang sentiasa bergerak seiring dengan keperluan dunia semasa,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -