
NANTUCKET: Seorang lelaki menawarkan ganjaran sebanyak AS$100 (RM448) kepada individu yang berjaya memulangkan dompetnya selepas ia ‘dicuri’ oleh seekor burung camar di luar sebuah kedai runcit.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin, lelaki yang dikenali sebagai Noah Karberg itu berkata, dia telah singgah di sebuah kedai runcit di sini, selepas seharian memancing di kawasan yang terkenal dengan kepulauannya itu, lapor UPI.
Dia dikatakan telah meletakkan telefon bimbit dan dompetnya di dalam troli beli-belahnya, di mana ia kekal di situ sewaktu meletakkan barangan yang dibeli ke dalam kenderaannya.
“Saya memakai baju memancing dan seluar pantai pendek, jadi tiada poket.
“Saya mengambil beberapa bungkusan ke tempat duduk belakang, kembali ke troli beli-belah, dan ada seekor burung camar duduk di atas troli, dan betul-betul di hadapan saya mengambil dompet saya, lalu terbang pergi,” katanya.
Karberg sempat merakam video selepas burung camar itu berada di atas bumbung tempat cuci kereta berhampiran dan mula ‘meneliti’ isi kandungan dompet itu.
“Ia seperti burung camar dengan agenda tertentu, melemparkan wang tunai dan terus ke Amex (kad kredit) saya,” tambahnya.
Bagi meminta bantuan orang ramai, Karberg menulis di dalam group Facebook tempatan bahawa sesiapa yang menjumpai dompet itu boleh menyimpan apa-apa wang tunai yang ada di dalamnya dan menawarkan ganjaran tunai AS$100 tambahan untuk pemulangan lesen dan kad-kadnya.
“Saya telah meminta orang ramai menghubungi saya, ada yang mengatakan mereka kesal dengan apa yang menimpa saya, tetapi ia juga benar-benar lucu,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/8/2024











