
HULU LANGAT: “Saat melihat mereka yang diuji dengan kesihatan, mengingatkan diri ini akan hadis Nabi Muhammad SAW yang amat memujuk dan mampu menyuntik motivasi diri, agar terus sabar dan tidak berasa lelah menghadapi segala ujian di dunia.”
Itu perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz hasil pengalaman beliau selepas telah menziarahi tiga penduduk Semenyih yang timpa musibah sempena sesi Ziarah Kasih Semenyih pada Isnin.
Beliau berkata, saat melihat mereka yang diuji dengan kesihatan, mengingatkan dirinya akan hadis Nabi Muhammad SAW yang amat memujuk dan mampu menyuntik motivasi diri, agar terus sabar dan tidak berasa lelah menghadapi segala ujian di dunia.
“Keadaan yang menyedarkan, saat kelak kita di syurga, tidak akan ada lagi segala kesakitan, kepayahan, atau apapun jua yang kita tanggung di dunia, melainkan hanya kebahagiaan dan kesenangan yang berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Tambah beliau, sabda Nabi SAW yang berbunyi, “Penyeru memanggil, ‘Sesungguhnya, sekarang tibalah saatnya kalian sihat dan tidak menderita sakit selama-lamanya.
“Sekarang tibalah saatnya kalian hidup dan tidak mati selama-lamanya. Sekarang tibalah saatnya bagi kalian tetap muda dan tidak tua selama-lamanya. Sekarang tibalah saatnya bagi kalian bersenang-senang dan tidak sengsara selama-lamanya.‘ (Hadis Riwayat Muslim (2837)).”
Menurut Nushi lagi, rumah pertama diziarahi beliau adalah milik Sudi Daut, di Taman Kantan Permai, Kajang di sini, yang mana Sudi diuji dengan sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis menyatakan dia bersyukur kerana masih mempunyai isteri dan keluarga bersama-samanya ketika susah dan senang.
Rumah kedua yang diziarahi beliau adalah di taman perumahan yang sama yang didiami Rahim dan isterinya, Nazirah; yang mana Rahim diuji dengan penyakit darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung yang beberapa kali menyebabkan beliau jatuh dan rebah tidak semena-mena.
“Sementara Nazirah juga mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi yang menampakkan pergelangan tangan dan kakinya membengkak,” kata Nushi.
Rumah ketiga yang diziarahi pula menurut Nushi ialah milik pemandu lori, Adnan Mat di Taming Impian, di sini.
“Adnan baru-baru ini juga diuji selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Putus, Negeri Sembilan ketika dalam perjalanan ke Bandar Muazam yang telah menghalang beliau untuk terus bekerja buat masa sekarang.
“Sama-sama kita panjatkan doa, bermohon mudah-mudahan semua yang diuji, dikurniakan kembali kesihatan, kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian.
“Bersama kita berdoa dengan lafaz yang diajar oleh pimpinan kita, Nabi SAW (yang bermaksud), ‘Tuhan segala manusia, hilangkanlah penyakit. Sembuhkanlah, Engkaulah penyembuh. Tidak ada penawar selain dari penawar Mu, penawar yang menghabiskan sakit dan penyakit‘.
“Semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dan diberkati dalam apa pun yang diusahakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024











