Kemalangan akibat anjing liar: Apa tindakan kerajaan?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka digesa melakukan tindakan yang lebih drastik dalam menangani isu anjing liar hingga menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan jalan raya yang serius di negeri itu.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini kerana beberapa kemalangan yang berlaku telah mengakibatkan mangsa cedera parah.

“Pagi semalam (kelmarin) berlaku satu kemalangan di Jalan Taman Maju – Lipat Kajang yang melibatkan sebuah motosikal dan seekor anjing. Tiada saksi mata untuk kemalangan ini.

“Petang ini (semalam) saya luangkan masa melawat mangsa di Hospital Melaka. (Mangsa) Muhammad Nur Haikal Abdul Ghafar masih tidak sedarkan diri akibat perdarahan otak yang parah,” ujarnya.

Jelas beliau, kemalangan yang melibatkan binatang liar terutama anjing ini bukan perkara baru, malah baru-baru ini juga berlaku kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan seekor anjing.

Maklum beliau, dalam tragedi berlaku di Kampung Pondok Kempas tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami patah pergelangan kaki dan tangannya.

“Pernah juga berlaku kejadian binatang ternakan dibaham anjing liar yang menyebabkan kematian banyak binatang ternakan seperti kambing. Pemilik ternakan mengalami kerugian yang besar.

“Keselamatan penduduk kawasan sudah pasti terancam kerana wujudnya anjing-anjing liar tanpa pengawasan ini,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka.

Tegas beliau, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan tempatan untuk mengambil tindakan segera ke atas isu anjing atau binatang liar itu dengan segera.

“Segala aduan yang telah dilaporkan, secara langsung atau melului media sosial perlu diambil serius. Perbincangan dan kerjasama perlu diwujudkan antara semua pihak.

“Termasuk JPKK (Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung), Ahli Majlis, KRT (Kawasan Rukun Tetangga), Persatuan Penduduk, Jabatan, dan juga NGO pencinta haiwan agar masalah ini diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Selain itu katanya, satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas perlu diwujudkan agar tindakan bakal dilakukan pada masa akan datang menjadi lebih lancar.

Tambah beliau, semua binatang peliharaan seperti anjing wajib mempunyai lesen dan ditambat, manakala anjing-anjing tanpa lesen yang dibiarkan bebas dan liar perlu ditangkap segera.

“Pemilik tanpa lesen perlu dikenakan tindakan undang-undang. Semua anjing-anjing harus dipastikan bebas penyakit dan mempunyai rekod kesihatan yang jelas. Akta berkaitan pemeliharaan anjing dalam Akta Kerajaan Tempatan perlu dikuatkuasakan.

“Saya menggesa pihak Exco dan kerajaan mengambil tindakan serius dan jangan mengambil mudah berkaitan isu ini.

“Jangan sampai menunggu mangsa ‘orang-orang besar’ baru tindakan akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi beliau semalam. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -