Isu pertindihan dan pertikaian milik tanah ditangani

- Advertisement -

KANGAR:  Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dengan isu pertindihan dan pertikaian tanah yang berlaku di negeri ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa urusan pemberimilikan tanah bukanlah satu proses yang mudah, kerana ia tertakluk kepada Seksyen 76, Akta 828 Kanun Tanah Negara.

Menurut Mohd Shukri, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian 2013 sebagai panduan kepada semua pejabat tanah.

Pekeliling itu katanya, menggariskan beberapa perkara yang perlu dipatuhi dalam urusan pelaporan tanah sebelum dibawa untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Antara garis panduan ini termasuk mendapatkan ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal bagi memastikan tiada pemajuan atau pembangunan tanah yang dibuat sekiranya terdapat pemilik sebelumnya,” terangnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Gan Ai Ling (PH-Indera Kayangan) berkaitan jumlah kes hak milik tanah di negeri Perlis dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

“Sebagai tambahan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis juga telah menambah baik Standard Operating Procedure (SOP) pemberimilikan.

“Iaitu dengan mendapatkan ulasan daripada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), yang kini dikenali sebagai Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK).

“Elemen menemuduga jiran-jiran sekitar juga diperkenalkan untuk memastikan tanah tersebut benar-benar diusahakan oleh pemohon dan tiada hak milik sebelumnya,” tambah Mohd Shukri.

Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis telah mengenal pasti kira-kira 10 kes hak milik bertindih melibatkan 29 hak milik yang telah didaftarkan.

“Di antara punca kes-kes pertindihan hak milik tersebut adalah disebabkan hak milik lama yang telah didaftar sebelum merdeka sepatutnya ditukar kepada hak milik sambungan.

“Namun tiada dalam simpanan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis dan rekod hak milik tersebut tiada dalam rekod Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).

“Hak milik lama seperti Register Milik (RM), Extract of Mukim Register (EMR), dan Geran Lama (GL) hanya boleh ditukar kepada hak milik sambungan setelah pemilik tanah sendiri atau waris sekiranya pemilik meninggal dunia membuat permohonan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis.

“Hal ini menyebabkan status tanah tersebut dikategorikan sebagai tanah kerajaan, dan apabila terdapat permohonan pemberimilikan terhadap tanah tersebut diluluskan.

“Pemilik geran lama pula menyatakan bahawa tanah tersebut miliknya berdasarkan hak milik yang terdapat dalam simpanannya,” jelas beliau.

Justeru, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua rakyat Perlis yang mempunyai geran-geran lama untuk hadir ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis dengan membawa salinan asal geran-geran tersebut untuk dibuat semakan dan tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -