Dalam gigih berusaha, jangan lupa tunaikan hak tubuh badan

Nushi (kanan) di samping Hoh Kah Chuan dan keluarganya.
- Advertisement -

HULU LANGAT: Tubuh badan manusia mempunyai haknya untuk ditunaikan yang tidak boleh diabaikan dalam kegigihan berusaha mencari rezeki untuk keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, itu merupakan jentikan rasa dalam hati berikutan perkongsian pengalaman daripada pertemuan dengan seorang penduduk, Hoh Kah Chuan di Ecohill, di sini.

- Advertisement -

“Dalam sebuah kisah, Saidina Salman RA menegur saudara angkatnya Abu Dzar Al Ghifari yang berbunyi, ‘Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka, penuhilah kesemua hak masing-masing tersebut’.

“Ketika bertemu Rasulullah SAW, Abu Dzar menceritakan teguran Salman. Lalu Baginda bersabda, ‘Benarlah kata Salman.’ (Hadis Riwayat Bukhari)’,” ujar Nushi yang juga merupakan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat.

Dalam pada itu, menurut beliau lagi,  Hoh Kah Chuan menghidap penyakit angin ahmar ringan dan lumpuh separuh badan sejak usia belasan tahun lalu ketika baru sahaja menginjak usia 30 tahun.

Tambah Nushi, kini, dalam usia 40-an, Kah Chuan bangkit semula untuk berdikari dalam usaha menyara keluarga.

“Dalam perancangannya, Kah Chuan sedang melalui siri-siri ujian kesihatan yang menelan kos RM400 setiap saringan sebelum layak mendapatkan lesen e-hailing beliau.

“Ketika berbual, Kah Chuan ceritakan pengalaman ketika muda dahulu bekerja keras dan hanya tidur sekitar 3 jam sahaja sehari sehingga tidak sedar, menjejaskan tahap kesihatan beliau dan membawa kepada angin ahmar.

“Alhamdulillah, pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah menyalurkan sumbangan bagi membantu Kah Chuan mendapatkan lesen e-hailing. 

“Begitu murni harapan beliau untuk membesarkan anak-anak dengan baik hasil keringat sendiri. 

“Semoga diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki buat Hoh Kah Chuan,” kata Nushi. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -