Mustahil Azizi tak tahu peruntukan kepada ADUN

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: “Semasa dia (Azizi) bersama parti BERSATU, dia adalah wakil rakyat kerajaan. Mustahil dia tak tahu (peruntukan) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada semua ADUN,” kata Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri semasa menjadi wakil rakyat.

Ketia dihubungi, Fadzli berkata, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud telah mengisytiharkan semua ADUN termasuk dari pembangkang menerima peruntukan dari kerajaan negeri.

“Kita (kerajaan negeri) telahpun melaksanakannya, ada peruntukan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan, ada melalui Exco dan ada yang disalurkan terus ke Pusat Khidmat DUN di seluruh Kelantan.

“Ada juga peruntukan yang berbentuk program tetap anjuran kerajaan negeri dan pelbagai sumbangan diberikan dari masa ke semasa,” katanya lagi.

ADUN Temangan itu memberitahu, kerajaan negeri memaklumkan perkara itu melalui surat, grup WhatsApp dan taklimat oleh Exco yang diadakan biasanya di awal tahun.

“Mustahil dia (Azizi) tidak tahu, melainkan dia sendiri tak ambil cakna,” kata Fadzli lagi.

Kelmarin, media melaporkan Mohd Azizi Abu Naim mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri semasa menjadi wakil rakyat.

Pada masa yang sama beliau turut mencabar kerajaan Kelantan untuk mengemukakan bukti beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.

Nassuruddin pada 23 Ogos tahun lepas telah mengumumkan kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan kepada semua ADUN di negeri itu termasuk pembangkang.

Menurutnya, pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang kerana mereka semua dipilih oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -