
KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri sedang dalam proses menebang pokok di tepi jalan melalui beberapa agensi.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) adalah antara agensi yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja ini.
Menurut Izizam, penebangan pokok termasuk pembuangan tunggul adalah sebahagian daripada praktis jabatan tersebut, namun masih terdapat sebahagian kecil jalan yang tunggulnya belum dibuang sepenuhnya kerana beberapa isu.
“Antaranya, terdapat paip air Syarikat Air Perlis (SAP) dan kabel-kabel utiliti di celah-celah akar pokok serta akar yang menjalar ke jalan raya, yang memerlukan penelitian khusus.
“Ini untuk meminimumkan kerosakan jalan sebelum tindakan pemotongan atau pengorekan tunggul dilaksanakan. Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs).
“Iaitu bersama Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis (JKR) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada tahun 2023 untuk membincangkan isu tunggul pokok jati ini,” katanya.
Izizam berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) pada persidangan kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang ke-15 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, keputusan mesyuarat tersebut menetapkan bahawa pokok-pokok yang ditebang perlu mendapatkan ulasan daripada agensi teknikal seperti Syarikat Air Perlis (SAP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan JKR mengenai status lokasi kawasan, sama ada terlibat dengan laluan utiliti atau tidak.
“Sekiranya kawasan tebangan ini terlibat dengan utiliti, kerja-kerja pengorekan tunggul tidak dibenarkan kerana akan menyebabkan gangguan kepada utiliti sedia ada.
“Oleh itu, kaedah yang dipersetujui adalah dengan memotong tunggul rapat ke paras permukaan tanah,” jelas Izizam.
Ujarnya lagi, keputusan itu akan digunakan untuk fasa pemotongan seterusnya oleh JPNPs.
“Begitu juga, penebangan pokok-pokok bahaya yang dilaksanakan oleh pihak JKR akan tertakluk kepada kaedah ini,” katanya. HARAKAHDAILY 6/8/2024











