Pemangku Raja Perlis serah bendera kontinjen SUKMA

- Advertisement -

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berangkat ke Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perlis sempena Temasya SUKMA Sarawak 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta para Exco Kerajaan Negeri mengiringi baginda ke majlis yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini malam kelmarin.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata pihaknya sedaya upaya melakukan pelbagai usaha bagi memberi sokongan kepada para atlet, malah giat memacu pembangunan sukan di negeri ini, dengan atlet-atlet Perlis kini ada yang mencapai taraf sukan olimpik.

“Antaranya dengan meningkatkan kemudahan dan infrastruktur latihan, melantik jurulatih secara sepenuh dan separuh masa, pembangunan program sains sukan dan modul latihan, serta penjagaan kebajikan atlet secara berterusan.

“Langkah ini merupakan antara langkah yang diambil bagi memastikan atlet Perlis memberikan yang terbaik di Sarawak kelak,” katanya.

Mohd Shukri turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan sukan di Perlis yang sentiasa memiliki kudrat, keupayaan, dan semangat kesukanan tinggi.

Beliau memuji usaha gigih para pentadbir sukan dalam memajukan bidang ini dan ketekunan para atlet dalam mengharumkan nama negeri.

Selain itu, beliau berharap agar para atlet dapat mewakili negara atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang sukan.

Mohd Shukri juga menyuarakan harapan rakyat jelata dan Kerajaan Negeri Perlis agar Kontinjen SUKMA Perlis kali ini berjuang bermatian-matian untuk memastikan kutipan pingat meningkat berbanding edisi terdahulu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak serta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -