HEBAT 5.0 dedah siap siaga hadapi bencana

- Advertisement -

KANGAR: Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) 5.0 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Ogos di Pulau Jeha, Chenor, Pahang telah memberi pendedahan komprehensif kepada peserta berkaitan tindakan sekiranya berlaku bencana.

- Advertisement -

Program tersebut disertai oleh peserta dari seluruh Malaysia, dengan Perlis menghantar empat wakilnya.

Menurut wakil Khidmat Malaysia Negeri Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, peserta didedahkan dengan pelbagai kaedah simulasi pergerakan dan proses yang berkaitan dengan bencana.

“Latihan yang diberikan termasuk pengetahuan medik, penggunaan kompas untuk orientasi arah serta penggunaan radio.

“Bagi saya, ini merupakan satu kebaikan dan ilmu yang sangat bermanfaat untuk dibawa pulang oleh peserta ke tempat masing-masing.

“Ilmu yang disampaikan merangkumi semua peringkat dan kawasan, menjadikan program ini satu titik permulaan penting untuk Malaysia melahirkan petugas dan anggota yang siap siaga,” kata Amirul.

Beliau juga menekankan bahawa program tersebut bukan sahaja menyediakan latihan yang komprehensif, tetapi juga menghubungkan peserta dengan pelbagai pendekatan khusus dan pimpinan berpengalaman dari seluruh Malaysia.

“Ini pastinya akan memperkayakan pengalaman dan pengetahuan dalam menghadapi situasi kecemasan,” tambahnya lagi.

Amirul menyatakan bahawa program HEBAT 5.0 berjaya mencapai matlamatnya dalam menyediakan persediaan dan kesiapsiagaan yang diperlukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana di masa hadapan. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -