
KUALA TERENGGANU: “YB, saya nak beri teguran sikit. Sebab apa dalam kampung ada ustaz, cikgu, engineer, pegawai dan ramai lagi yang berkelulusan tinggi tapi Pengerusi JPKK yang dilantik pendidikan ala kadar saja. Saya cadang untuk penggal baru lantik pengerusi yang ada sijil.”
Demikian catatan yang dimuatkan pada laman sosial Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Catatan itu merujuk kepada cadangan seseorang mengenai jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Beliau yang juga ADUN Jabi menjelaskan, yang pertama, perlu tukar perkataan ‘dilantik’ kepada ‘dipilih’.
Katanya, kesemua 37 Pengerusi JPKK dalam DUN Jabi dipilih oleh komuniti kampung tersebut.
“Bukan saya lantik. Saya hanya mengesyorkan nama yang dipilih tersebut untuk dibuat perlantikan oleh MB.
“Yang kedua, memimpin di peringkat grass root seperti Pengerusi JPKK sangat unik. Pengerusi JPKK bukan nak berbahas di DUN atau Parlimen, berwacana ilmiah, bentang paper dalam persidangan, tulis artikel, buat research dan macam-macam lagi kerja ilmiah,” ujarnya.
Tambahnya, tanggungjawab Pengerusi JPKK ialah untuk cakna kepada anak buah di kampung, antaranya seperti menghantar bantuan sampai di hadapan tangga setiap rumah, naik di atas bumbung membaiki atap, turun ke dalam longkang membersihkan saliran tersumbat.
“Cakna kepada anak buah yang sakit, demam dan mati, kemukakan permasalah dalam kampung kepada YB, jaga kebersihan serta kecerian kampung, tebang pokok, gotong-royong bersih kampung, cari senarai penerima bantuan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Pengerusi JPKK juga bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan jabatan kerajaan dan masyarakat kampung serta macam-macam lagi kerja di peringkat bawah.
“Seorang anak buah puji tok ngulu, tapi mungkin 5 orang lagi yang maki. Elaun hanya RM1,000 sebulan.
“Kalau ada mereka yang berkelulusan tinggi dan sedia menjadi kuli rakyat seperti ini serta tahan maki hamun, lalu bersedia untuk menawarkan diri dan diterima oleh masyarakat setempat, maka kita boleh syorkan nama mereka,” katanya.
Beliau menambah, jika ada kelayakan akademik yang tinggi tentu sekali adalah satu kelebihan.
Katanya lagi, dalam senarai JPKK Jabi sekarang ada Pengerusi JPKK yang berlulusan bidang kejuruteraan daripada UIA, graduan IPTA, pesara pengetua sekolah, pesara tentera, guru Bahasa Inggeris, pesara perkhidmatan awam dan beberapa profesion lagi.
“Kiranya tidaklah lekeh sangat,” tambahnya.
Tambahnya, satu lagi yang perlu difahami bahawa Pengerusi JPKK bukan kerja atau profesion sebaliknya ia hanyalah khidmat.
Menurutnya, mungkin mereka ada pelbagai kerja lain bertujuan mencari rezeki untuk menyara hidup.
“Di Jabi ada yang kerja buat wiring, pesawah, penternak lembu, tukang rumah, pomen kereta, drebar lori, tokey pok getah dan lain-lain.
“Zaman sekarang sukar untuk nak hidup dengan elaun RM1,000 sebulan. Masuk kedai makan soheh tok ngulu yang kena bayar. Kalau tak bayar kena maki lagi,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











