
AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka digesa untuk meningkatkan lagi ketegasan terhadap aktiviti penyebaran agama bukan-Islam secara terbuka yang semakin berleluasa akhir-akhir ini.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia susulan sebuah video tular baru-baru ini yang memaparkan satu aktiviti dilihat mempromosikan aktiviti berkaitan agama Kristian.
Jelas beliau, aktiviti dalam video itu dipercayai berlaku di hadapan Surau Warisan, berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir untuk promosi kursus yang dianjurkan pada Sabtu lalu.
“Perkara ini adalah sesuatu yang sangat mengejutkan umat Islam di Melaka terhadap aktiviti tersebut yang jelas bercanggah dengan undang-undang dan telah menimbulkan kemarahan umat Islam.
“Perlembagaan Negara Artikel 11 menyebut dengan jelas Islam ialah agama Persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan di Malaysia dan Artikel 11 (4) menyebut dengan jelas sebarang usaha mempromosi agama lain dalam kalangan umat Islam ialah satu kesalahan jenayah,” katanya.
Beliau selaku juga Ahli Parlimen Jasin menambah, ia juga menjadi satu aktiviti yang sangat jelas mengancam akidah umat Islam sebagai agama rasmi negeri dan negara ini.
Di mana khuatirinya, promosi secara terbuka itu boleh menyebabkan kemungkinan ada umat Islam yang terpengaruh dan menjurus kepada murtad.
“Aktiviti ini menjadi satu ‘trigger’ apabila melihatkan kepada kemunculan banyak aktiviti yang dilihat tidak bersesuaian dengan negara ini sebagai negara majoriti umat Islam,” katanya.
Ujarnya lagi, apa yang berlaku itu adalah sesuatu perkara hampir sama dengan isu promosi jenama arak secara terang-terangan yang melibatkan seorang Timbalan Menteri di sebuah sekolah baru-baru ini.
“Ia juga membayangkan seolah-olah ada pihak yang sengaja secara terbuka mempromosikan aktiviti yang jelik di mata umat Islam. Malah pekeliling mengenai larangannya sudah lama wujud.
“Namun ia tetap dilakukan dan malah dipertahankan oleh sesetengah pemimpin kerajaan sendiri setelah ianya kecoh diperkatakan,” katanya.
Tambahnya, walaupun hakikatnya perkara-perkara tersebut sudah lama berlangsung, namun ia sebelum ini dilakukan secara tertutup, bukan terangan, tanpa promosi besar-besaran sehingga melibatkan Menteri atau pembesar negara.
“Namun, pada masa ini ia telah dilakukan secara terang-terangan tanpa segan silu dan tanpa rasa takut terhadap kemarahan yang mungkin dibangkitkan oleh umat Islam.
“Kebimbangan kami adalah kerana dalam penganjuran aktiviti-aktiviti tersebut, jelas telah wujud undang-undang dan peraturan yang melarangnya, namun ia tetap dilakukan secara terbuka,” katanya.
Kerana itu katanya, PAS Negeri Melaka, mendesak pihak kerajaan agar menguatkuasakan undang-undang sedia ada agar ia menjadi kegerunan terhadap pihak-pihak yang sengaja mencabar Islam dan mencabar undang-undang ini.
“Kerajaan terutama kerajaan negeri harus tegas dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung aktiviti yang mengancam umat Islam ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan golongan liberal yang sering memomok-momokkankan frasa ‘Islam terancam’ itu kononnya satu paranoid, sedangkan hakikatnya Islam kini benar-benar terancam dengan aktiviti yang berlaku seperti ini.
“Jangan sampai satu masa nanti semuanya sudah terlambat untuk diperbetulkan sehingga nasi sudah menjadi bubur dan tiada jalan untuk berpatah balik. Kerana itu kerajaan perlu melakukan apa yang perlu dan bertindak sekarang sebelum terlewat,” ujarnya.
Dalam video tular tersebut, beberapa individu membuka reruai dan secara terbuka mempromosikan kursus percuma Bible. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











