
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) akan menganjurkan Program Pidato dan Solidariti Palestin yang akan diadakan esok (3 Ogos), jam 7:30 malam bertempat di Markas PAS Sungai Besar.
Setiausaha DPPNS, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, ini berikutan bagi menyahut seruan 3 Ogos sebagai Hari Solidariti terhadap penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.
“Sehubungan dengan itu, diminta Dewan Pemuda PAS Kawasan, Jabatan Amal, Alternative Riding Club (ARC), Jabatan PASTI, Jabatan SRITI dan Jabatan SMITI untuk membuat kerahan kehadiran seramai mungkin ahli ke program yang akan diadakan ini,” serunya dalam satu kenyataan.
Dalam hari yang sama, PAS Wilayah Persekutuan dilaporkan akan turut mengadakan Solat Hajat dan Pidato Solidariti Palestin di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) bagi menyahut seruan solidariti Palestin bermula jam 7:00 malam.
Solidariti untuk Palestin tersebut adalah susulan daripada kenyataan media bertarikh 31 Julai lalu bersamaan 25 Muharram 1446 yang dikeluarkan oleh PAS Pusat untuk menyatakan kebersamaan PAS dalam menentang kezaliman dan keganasan Zionis Israel.
Selain itu, dunia telah dikejutkan dengan berita syahidnya tokoh perjuangan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh ketika menghadiri sesi mesyuarat bersama Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dan Panglima Tertinggi Briged Seraya Al-Quds. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











