
GUA MUSANG: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti.
Turut kelihatan Felcra Bhd yang dipengerusikan Ketua Umno Kelantan Datuk Sri Ahmad Jazlan Yaakob.
Pada petang Rabu lepas dibuat hebahan melalui alat pembesar suara yang dipasang di kenderaan mengajak orang ramai hadir pada program Jualan Rahmah Felcra Bhd di Padang Sekolah Kebangsaan Bertam pada Khamis dan hari ini.
Program itu dinamakan Mini Karnival Komuniti Madani Felcra Bhd turut menawarkan hadiah misteri dan cabutan bertuah.
Program terbabit bermula petang semalam dengan diadakan jualan usahawan Felcra, pameran agensi kerajaan, sukan rakyat dan cabutan bertuah.
Dan pagi tadi diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak dengan kerjasama Kemas dan pada sebelah petang perasmian disempurnakan Pengerusi Felcra Bhd Ahmad Jazlan.
Dan pada Selasa lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa, di Kesedar Sungai Asap.
Seorang penduduk tempatan di Limau Kasturi, Khairul Azam berkata, jabatan dan agensi kerajaan Pusat silih berganti mengadakan program di Nenggiri.
“Agensi terbabit mengadakan pelbagai aktiviti dan program di DUN Nenggiri di mana perasmian dilakukan pemimpin Umno.
“Ada menteri dan timbalan menteri yang tidak pernah datang ke Gua Musang pun datang ke Nenggiri musim kempen pilihan raya sekarang,” ujarnya.
Malah banyak premis milik kerajaan yang dibiayai dana awam pula kelihatan bendera dacing. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











