
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman merakam penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menyenaraikan mereka sebagai peserta Ladang Rakyat.
Katanya, dividen Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan dapat dimanfaatkan bagi membeli keperluan keluarga setiap kali datang ke bandar Gua Musang.
Amir Pandak, 50, mengakui dividen RM200 sebulan dapat meringankan beban hidup keluarganya berikutan kos sara meningkat ketara sekarang.
Kata beliau, hasil keuntungan ladang sawit yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Ladang Rakyat dapat dimanfaatkan sebahagian masyarakat Orang Asli.
“Kita berharap kerajaan negeri memperluaskan lagi jumlah peserta Ladang Rakyat bagi membolehkan lebih ramai penduduk Orang asli dapat menikmati dividen RM200 sebulan.

“Terima kasih kepada Menteri Besar yang datang mengagihkan dividen Ladang Rakyat kepada setiap peserta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembahagian Dividen Ladang Rakyat di Dewan Serbaguna Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd, semalam.
Penyampaian dividen itu membabitkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Program itu merupakan siri ke-65.
Seramai 245 daripada 4,794 peserta Ladang Rakyat terdiri daripada penduduk Orang Asli.
Ali Sarip, 52, dari Pos Tuel turut berharap kerajaan negeri menambah jumlah peserta Ladang Rakyat dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Saya agak bertuah kerana dipilih sebagai peserta Ladang Rakyat, namun berharap lebih ramai kaum Orang Asli disenaraikan sebagai penerima dividen Ladang Rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











