
KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menyatakan bahawa rakyat adalah sebahagian daripada jiwa dan hidupnya.
Beliau berkata, mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat menjadi pendorong utamanya dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
“Kerana mandat mereka saya berada di sini. Juga kerana kepercayaan mereka saya menyerahkan jiwa dan ihsan kepada mereka.
“Kerana harapan mereka saya terus gagah melangkah,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.
Bagaimanapun kata Wan Sukairi, peranan wakil rakyat bukanlah tugas yang mudah, kerana ia memerlukan pertimbangan dan ihsan yang mendalam.
“Terlalu banyak cabaran, pertimbangan dan rasa Ihsan yang perlu diambil kira kerana natijahnya apa yang diputuskan oleh wakil rakyat akan diambil kira sebagai cerminan baik mahupun buruk prestasi wakil rakyat.
“Jika hajat yang disuarakan oleh rakyat ditunaikan, maka wakil rakyat akan mendapat satu ‘mileage’ yang bagus.
“Jika sebaliknya tidak memenuhi kehendak oleh rakyat, maka wakil rakyat turut menerima tempias dengan tanggapan yang kurang baik. Itulah realitinya,” ujarnya.
Menurutnya, komunikasi adalah kunci dalam menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi oleh rakyat.
“Contohnya, keputusan yang tidak popular boleh dimurnikan kepada satu keputusan yang dapat diterima dengan baik.
“Caranya adalah melalui penerangan yang jelas dan paling utama sekali adalah memberi pemahaman kepada rakyat bukannya meninggalkan rakyat dengan pelbagai persoalan dan andaian,” katanya.
Wan Sukairi berkongsi perkara itu melalui pengalamannya bertemu dengan rakyat di pejabat untuk pelbagai tujuan.
Beliau berharap segala urusan rakyat akan dipermudahkan dan berjanji akan membantu sedaya yang mampu.
“Kita bantu sekadar terdaya,”katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024











