
KOTA BHARU: Langkah kerajaan Madani mahu perkhidmatan media sosial dan pesanan internet memohon lesen menggambarkan kerajaan PH-BN takut terhadap bayang-bayang sendiri.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan itu menggambarkan kerajaan mahu menyekat kebebasan bersuara.
“Kerajaan sebenarnya takut menerima kritikan rakyat terhadap kelemahan mereka mentadbir negara sekarang,” katanya di sini.
Beliau diminta mengulas kerajaan PH-BN akan menutup operasi mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini, yang didapati enggan patuh terhadap arahan memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025.
Siti Zailah yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan berkata, pelbagai isu diperkatakan rakyat sejak PH-BN menerajui kerajaan termasuk harga barang keperluan naik ekoran harga diesel meningkat mendadak.
Kata beliau tindakan kerajaan itu turut mengundang kemarahan bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang turut mengkritik kerajaan berhubung langkah untuk mengenakan undang-undang pelesenan baru bagi pengendali media sosial.
Beliau juga berkata, PH-BN dianggap sebagai sebuah kerajaan diktator dalam sejarah pemerintahan negara ini sejak merdeka. – HARAKAHDAILY 31/7/2024











