KDN FC, Muzungu capai persetujuan tamat kontrak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan pemain import, Chadrack Lukombe Muzungu mencapai persetujuan bersama untuk penamatan kontrak berkuatkuasa hari ini.

- Advertisement -

Bekas pemain antarabangsa Congo itu menyertai KDN FC dengan kontrak semusim pada April selepas dibebaskan kelab Liga Maghribi, RS Berkane.

Perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancangkan selepas diketepikan beberapa minggu kerana cedera.

Bagaimanapun, sebaik kembali ke arena beliau gagal menembusi skuad utama termasuk disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan Julai.

Presiden, Rozi Muhamad berkata, penyerang import itu bersetuju menamatkan kontrak selepas tiga bulan beraksi untuk KDN FC.

“Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmatnya kepada pasukan selama ini.

“Selamat maju jaya dalam karier bola sepak bersama kelab lain pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Menurut Rozi, pihaknya mendoakan kejayaan Chadrack Muzungu sepanjang kariernya selepas ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pihaknya kini akan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk membawa masuk pemain-pemain baru pada perpindahan kedua nanti.

Tambahnya, keputusan dibuat sangat jelas dan muktamad, demi untuk kembali memberi cabaran.

“Perubahan yang saya lakukan mengikut keperluan sebuah pasukan bola sepak profesional.

“Saya telah mengambil keputusan tentang pelbagai perkara untuk kelab serta pasukan. Saya akan berusaha semampu mungkin untuk memastikan KDN FC kembali menyengat,” ujarnya lagi.

KDN FC III ke suku akhir Piala Presiden

Sementara itu,  Kelantan Darul Naim FC III (KDN FC III) mengesahkan ke suku akhir Piala Presiden 2024 setelah membenam PDRM FC 3-0 di Stadium MMU, Cyberjaya, petang semalam.

Pada aksi itu, KDN FC III jelas lebih mendominasi berbanding pihak lawan selaku tuan rumah.

Jaringan pertama terhasil pada minit ketujuh selepas Arif Hakimie berjaya melepasi perangkap offside sebelum melakukan satu lob cantik ke dalam gawang PDRM FC.

Pada minit ke-14 pula, giliran Asyraf Danial menjaringkan gol selepas menyudahkan hantaran dari sebelah kiri gawang PDRM FC yang dikawal oleh Daris Irfan.

KDN FC III semakin selesa setelah kapten pasukan, Mukhriz Nekmat melakukan tampanan ke dalam gawang apabila mendapat hantaran cantik sepakan percuma dari Muhammad Effizul Haikal pada minit ke-43. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -