
KANGAR: Sembilan atlet golf Perlis yang akan bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) menerima peralatan golf sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Wan Zikri Afthar Ishak turut memberi semangat kepada para atlet dengan pesanan agar tidak mudah berputus asa dan terus berjuang membawa nama negeri.
“Gunalah sebaik-baiknya barangan golf ini untuk kejohanan nanti. Buat yang terbaik (Best of luck guys!).
“Bila awak bawa nama negeri ni, ia bukan kaleng-kaleng (luar biasa), bukan senang nak ke SUKMA,” katanya.
Terdahulu, Zikri mempengerusikan mesyuarat penyelarasan SUKMA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat MSN Perlis.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Pengurus Sukan, dan Pegawai Pembangunan Sukan untuk membincangkan penginapan, pergerakan kontinjen dan lain-lain perkara berkaitan.
Mesyuarat juga dijalankan secara maya bersama Jabatan Angkat di Sarawak serta Pegawai Perubatan.
Zikri berharap agar pergerakan kontinjen SUKMA Perlis ke Sarawak berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan.
“Dengan segala persiapan yang rapi, kontinjen Perlis diharapkan dapat memberikan yang terbaik dalam SUKMA 2024 ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 30/7/2024












