
KUALA KRAI: Peluang Perikatan Nasional (PN) mempertahankan DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini lebih cerah memandangkan jumlah pengundi muda lebih ramai.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, jumlah pengundi muda di DUN Nenggiri hampir 60 peratus boleh membantu PN mengekalkan kerusi tersebut.
Katanya, sokongan anak-anak muda dijangka dapat mempertahankan kemenangan di DUN Nenggiri.
“Sokongan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda dijangka akan memberi kemenangan kepada calon PN.
“Ini kerana sokongan golongan terbabit telah diterjemahkan pada PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini dan perkembangan yang serupa dipercayai akan diulangi di DUN Nenggiri,” katanya di sini.
Beliau yang juga ADUN Manek Urai berkata, pencalonan Mohd Azwandi Ismail dalam misi mempertahankan DUN Nenggiri dianggap menjadi faktor penyumbang kerana beliau dekat dekat masyarakat terutamanya anak-anak muda.
Kata beliau, Ustaz Mohd Azwandi merupakan Pengerusi Belia DUN Nenggiri dan mempunyai pengaruh yang luas dalam kalangan anak muda.
“Bagaimanapun usaha untuk mengekalkan kemenangan itu perlu dilakukan secara berterusan di samping berdoa dan bermunajat kepada Allah Taala.
“Usaha untuk mempertahankan perlu dilakukan semua petugas PN sama ada dari PAS atau Bersatu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024











