Harga bahan, sewa jentera naik mendadak

Senator Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Banyak aduan daripada pengguna kerana peningkatan mendadak harga barangan keperluan susulan langkah penyasaran subsidi diesel ketika ini.

- Advertisement -

Senator Musoddak Ahmad, turut menerima banyak aduan yang sama di Kedah terutamanya dalam kalangan petani, peladang dan kontraktor tentang kenaikan harga jentera.

“Jentera seperti jentolak yang banyak digunakan dalam industri pembinaan mengalami kenaikan sewa daripada RM450 kepada RM550 sehari ketika ini.

“Sewa jentera Kato naik dari RM950 kepada RM1,200, manakala sewa lori juga naik dari RM350 kepada RM490.

“Pemberian subsidi di bawah Budi Madani sebanyak RM200. Adakah kerajaan sudah membuat kaji selidik bahawa mencukupi ataupun tidak pemberian subsidi sebanyak RM200 kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata penyasaran subsidi melalui ‘fleet card’ pada ketika ini difokuskan kepada kenderaan yang terlibat dalam logistik.

“Kenderaan yang terlibat dalam perkhidmatan kesannya tidak secara terus kepada barang keperluan asas akan tetapi tidak dinafikan mungkin akan ada kesan kepada harga barang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -