
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan sama ada pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bertujuan untuk memudahkan proses penjualan 30 peratus saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada GIP.
Senator Hussin Ismail berkata, ini adalah kerana dengan terbubarnya MAVCOM akan menyebabkan kuasa tersebut berpindah kepada Menteri Pengangkutan dalam membuat keputusan tersebut.
“Jika kita lihat Seksyen 17 dan Seksyen 38, Akta 771, perkara strategik yang berkaitan dengan pengendalian lapangan terbang iaitu di bawah MAHB perlu mendapat kelulusan dulu daripada MAVCOM. Ertinya MAHB harus mendapat kelulusan dulu daripada MAVCOM.
“Bukankah ini bermakna sekiranya MAVCOM kekal sebagai sebuah badan bebas, maknanya dalam konteks cadangan pegangan hasrat untuk kuasai blok besar 30 peratus saham MAHB oleh syarikat asing yang ribut diperkatakan orang iaitu GIP, MAVCOM boleh memainkan peranan ‘check and balance’ terhadap sebarang keputusan kerajaan berhubung dengan perkara ini?” soalnya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi membubarkan MAVCOM di Dewan Negara hari ini.
“Cadangan 30 peratus, saya ingin sebutkan juga, sebab ini isu yang sangat sangat meluas dibicarakan orang sudah, sudah sekian panjang masanya, blok pegangan saham MAHB kepada syarikat asing perlu mendapat kelulusan kelulusan daripada MAVCOM.
“Kita harus cakna bahawa pegangan sebanyak 30 peratus ini merupakan satu angka yang amat besar. Cadangan ini perlu diperhalusi dan dibawa secara teliti dan diteliti secara halusnya oleh MAVCOM,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara yang beliau nyatakan berkaitan pembelian 30 peratus saham MAHB oleh GIP bukan lagi sekadar tuduhan liar kerana ia telah dibahas panjang oleh pelbagai pihak dari dalam mahupun di luar negara.
Beliau secara peribadi melihat bahawa keputusan pembubaran suruhanjaya itu memerlukan lebih banyak sesi libat urus dan kerjasama rentas badan bersama dengan pelbagai pihak serta penerangan yang telus daripada pihak menteri.
“Tambah lagi kita dengar tadi berbagai-bagai badan penerbangan antarabangsa turut juga memberikan pandangan supaya MAVCOM tidak dibubarkan.
“Perkara ini harus dibentang dalam kembali dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi dan diharapkan perkara ini dapat diteliti dengan lebih halus dengan lebih teliti supaya kepentingan negara dapat sama-sama kita jaga,” katanya.
Beliau juga memohon supaya akta itu ditangguhkan, diteliti dan diperhalusi supaya satu keputusan yang lebih tepat atas hasrat untuk memberi pulangan terbaik kepada negara dapat diambil oleh seluruh Ahli Dewan Negara. – HARAKAHDAILY 30/7/2024











