
KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), petang semalam.
Tuan Guru Hashim terdahulu telah dimasukkan ke HTF pada Isnin lepas kerana mengalami batuk-batuk dipercayai akibat jangkitan pada paru-paru beliau.
Menurut anak beliau, Husna Hashim, kesihatan ayahnya bagaimanapun semakin baik selepas menerima rawatan sepanjang tempoh tersebut dan dibenarkan doktor pulang untuk berehat di rumah.
“Alhamdulillah kesihatan Abah semakin baik, petang semalam doktor benarkan abah pulang dan berehat di rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turut menziarahi Tuan Guru di HTF pada Sabtu lepas, selain ADUN Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil dan kepimpinan PAS negeri turut menziarahi beliau. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











