
TANGGA BATU: Terdapat kelompok politik yang sangat takut melihat orang Melayu bersatu padu lalu menuduh mereka kalangan terlibat menyeru kepada penyatuan Melayu sebagai membawa agenda perkauman.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, hakikatnya penyatuan orang Melayu bakal mewujudkan negara stabil dan adil kepada semua bangsa dan kemajmukan yang ada di Malaysia.
“Malaysia sekarang orang Melayu ialah 62 peratus, orang-orang Cina 22.9 peratus orang India 6.9 peratus. Ini dia kedudukannya. Orang takut kalau kita (orang Melayu) bersatu.
“Padahal kalau kita bersatu, negara ini aman damai. Tak berkelahi dah. Tetapi ada orang yang tak mahu melihat kita bersatu. Bila kita bersatu, bererti hebatlah kita,” kata beliau.
Tambahnya, sewaktu di bawah Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob perkara itu telah berlaku dengan kehebatannya kerana nampak ketara orang Melayu, Cina dan India mentadbir negara ini bersama dengan baik.
“Tapi sekarang ni mereka tak mahu melihat benda ni berlaku dan tiap-tiap kali kita bercakap ni, maka (mereka) akan kata ini rasis. Rasis apa? Kita tak kacau orang lain,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Isu Semasa ‘Benarkah Janji Ditunaikan’ yang berlangsung di PASTI Ar-Rahim, Taman Cheng Jaya, di sini, malam kelmarin dahulu.
Katanya, apabila bangsa Melayu kuat dan bersatu, maka bangsa lain akan menghormati orang Melayu dan orang Melayu pastinya akan menghormati mereka sebagai balasan.
Jelasnya, tindakan menyatukan umat adalah perkara yang pertama dilakukan Rasulullah SAW sewaktu menubuhkan Negara Islam Madinah dan ia seharusnya menjadi panduan umat Islam.
“Pertama, Baginda satukan di antara orang-orang yang berbeza pendapat. Yang pertama yang disatukan di kalangan orang Islam apa dia? Muhajirin dengan Ansar, dia satukan.
“Lepas tu Aus dengan Khazraj yang banyak telah masuk Islam masa tu baginda satukan, daripada berkelahi dah 100 tahun dah. Baginda satukan semua termasuk orang Yahudi yang ada di situ.
“Baginda satukan. Lepas tu baru baginda tubuh Negara Islam Madinah. Negara Islam diasaskan kepada penyatuan semua umat,” ujarnya.
Namun, menurut beliau, hakikatnya Malaysia pada hari ini diasaskan atas ‘semangat pergaduhan’ sehingga menyebabkan meningkatnya isu perkauman.
“(Terpulanglah) Kalau ada orang nak bercakap tentang bangsa dia. Di Parlimen pun orang kata Shahidan ni rasis. Rasis apa? Aku cakap fasal bangsa aku, hang cakaplah bangsa hang,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua ahli-ahli PAS dan Umno agar bersatu-padu seperti mana yang telah beliau lakukan di Negeri Perlis.
“Apa saya buat dekat Perlis? Orang Umno, orang PAS duduk di bawah satu bumbung perpaduan ummah. Mai pilihan raya apa dia berlaku? (Itu) dulu, masa pilihan raya. Sekarang depa nak pecah belah balik. Tak bolehlah,” katanya.
Turut berucap di dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.
Juga Timbalan Pesuruhjaya PAS, Bakri Jamaluddin dan Ketua Bahagian BERSATU Tangga Batu, Ramlan Meon. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











