Premis awam di Nenggiri dipasang bendera BN

- Advertisement -

GUA MUSANG: Strategi Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Pahang tahun lepas berulang semula di Nenggiri apabila mereka ‘memperalatkan’ kemudahan premis milik kerajaan Pusat bagi aktiviti kempen.

- Advertisement -

Perkara itu dikesan berlaku dengan meluas di Nenggiri apabila pagar premis kerajaan termasuk Pusat Komuniti RKT Jeram Tekoh dan Renok dipasang bendera dacing.

Penghulu Tanpa Mukim DUN Nenggiri, Hadi Daud berkata, premis milik kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dipasang bendera dacing sejak beberapa hari lalu.

Katanya, situasi itu dikesan berlaku di Jeram Tekoh, Renok Baru dan Sungai Asap.

“Di Sungai Asap padang awam di bawah pentadbiran KESEDAR didirikan beberapa khemah besar sebagai pusat operasi pilihan raya parti politik kerajaan.

“Premis dan padang awam di bawah pengurusan agensi kerajaan pusat sekarang sudah dikuasai Umno dengan memasang bendera dacing.

“Ia jelas penyalahgunaan premis milik kerajaan yang dibiayai daripada wang rakyat. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku selaras dengan slogan Malaysia Madani,” katanya di sini.

Pada PRK Pelangai, Pahang Oktober tahun lepas, premis milik Felda digunakan sepenuhnya jentera pilihan raya Umno.

Malah permohonan PAS untuk menggunakan kemudahan dewan dan padang awam tidak dibenarkan.

Hadi juga berkata, beliau menghantar surat kepada pengurusan KESEDAR bagi menggunakan tanah terbiar di Jeram Tekoh bagi aktiviti Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau sehingga sekarang permohonan itu belum lagi dijawab di mana pegawai KESEDAR memberitahu perlu mendapat kebenaran pihak atasan. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -