
PADANG BESAR: Tradisi memasak bubur asyura pada bulan Muharram merupakan antara acara tahunan yang dinantikan oleh masyarakat Islam di negara ini, selain daripada sambutan Maal Hijrah.
Program demikian tidak hanya berkisar pada penyediaan bubur asyura, tetapi juga menjadi medium untuk mempererat hubungan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam komuniti.
Kebanyakan pemimpin masyarakat akan mengambil kesempatan ini untuk bersama masyarakat setempat, di samping boleh mengetahui masalah dalam kalangan mereka secara lebih dekat.
Antaranya, program Kacau Bubur Asyura di Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan yang diadakan di PASTI Nurul Hayah, Santan, di sini semalam.
Program tersebut dianjurkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Santan dengan kerjasama Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) DUN Santan serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Padang Besar.
Selain itu, ADUN Simpang Empat, Razali Saad, turut memenuhi jemputan Majlis Kacau Bubur Asyura di rumah Setiausaha MPKK Mengkuang Layar Barat, Mawar Din.
Pengerusi MPKK Kampung Mengkuang Layar Barat, Zul Hazmee Abu Hassan, juga hadir memeriahkan majlis tersebut, manakala di DUN Bintong pula, program kacau bubur asyura berjaya dilaksanakan dengan kerjasama jawatankuasa peringkat cawangan.
ADUN Bintong, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail berkata, sebanyak enam kawah bubur asyura disediakan dan lebih daripada 400 bekas bubur telah diedarkan kepada masyarakat setempat.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Di Pertua (YDP) PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Kangar, Suhanawati Jaafar yang menyantuni petugas dalam menyiapkan bubur lambuk.
Menerusi program seumpama itu, secara tidak langsung ikatan antara jawatankuasa cawangan dengan kepimpinan pelbagai peringkat dan masyarakat setempat dapat terus diperkuatkan. – HARAKAHDAILY 29/7/2024












