Rakyat perlukan doktor pakar

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perubatan (Pindaan) 2024 perlu untuk menyelesaikan kekurangan pakar yang serius di negara dan untuk menyelesaikan isu latihan kepakaran melalui laluan paralel.

- Advertisement -

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pindaan itu juga bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

“Walau apa pun pindaan yang dibuat adalah berdasarkan kualiti dan kuantiti yang sama-sama penting.

“Selain itu, pakar perubatan yang akan dilahirkan sama ada melalui program sarjana ataupun laluan paralel perlu mencapai satu standard yang setaraf dengan latihan-latihan kepakaran di peringkat antarabangsa,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Negara, hari ini.

Tambah beliau, kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi oleh itu negara memerlukan doktor pakar yang benar-benar layak dan selamat untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga kesihatan dan nyawa rakyat.

“Saya sangat sedar di luar sana perbahasan akta ini sangat rancak diperdebatkan di media sosial sangat hebat, dan saya membacanya.

“Secara peribadi, saya meminta pandangan dari rakan yang berada dalam MMC, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pensyarah, rakan-rakan saya yang berada di beberapa buah universiti yang ada perbezaan pendapat di kalangan mereka.

“Bagi saya perbezaan pendapat ini adalah sesuatu yang baik kerana memberi ruang untuk meneliti akta ini dan tindakan pelaksanaan yang sangat penting adalah amat penting untuk kita teliti dan buat sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, mereka tujuan yang sama iaitu memastikan para pakar adalah berkualiti demi memastikan kesihatan dan nyawa rakyat berada dalam tangan-tangan pakar yang selamat. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -